BANGKOK – Itik getah kini menjadi kegilaan orang ramai di Bangkok susulan peserta rali prodemokrasi menggunakan pelampung itik besar bagi melindungi diri daripada tembakan meriam air oleh pasukan keselamatan semasa bantahan pada bulan lalu.
Bulan lalu, polis menggunakan meriam air untuk mengusir penunjuk perasaan luar Parlimen dan ramai peserta protes berselindung di sebalik pelampung itik gergasi. Aksi itu menjadi tular di internet dan media sosial.
Selepas itu, alat perlengkapan renang bertema itik menjadi barang jualan utama peniaga tepi jalan di lokasi bantahan. Selain itu, aksesori rambut termasuk topi dengan tema itik turut laris.
Peserta protes mendesak Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha untuk meletak jawatan, merombak semula Perlembagaan dan melakukan pembaharuan ke atas institusi monarki.
Alat mainan berwarna kuning itu dilihat sebagai satu simbol protes dalam satu kejadian yang tidak disengajakan.
Peserta rali pada awalnya mahu menggunakan pelampung itik untuk menyusuri Sungai Chao Phraya di belakang Parlimen pada ketika ahli-ahli politik berbincang mengenai cadangan merombak Perlembagaan.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan yang berhimpun kemudian menggunakan pelampung sebagai alat perlindungan daripada tembakan gas pemedih mata dan meriam air.
“Untuk memudahkan pengertian, ia (itik) adalah pelindung kepada rakyat yang mengadakan bantahan secara aman.
“Kami ada itik comel untuk menentang pasukan polis bersenjata dan membuktikan kepada mereka bahawa kami lebih baik,” kata seorang penunjuk perasaan berumur 30 tahun, Sam.
Seorang peniaga yang menjual alat semburan buih berbentuk itik, Rattikarn Saehor berkata, produknya membantu menceriakan suasana semasa bantahan berlangsung.
“Kami mahu protes diadakan dalam keadaan tidak terlalu tegang, penuh dengan idea kreatif untuk menunjukkan kami gemar membantah secara aman dan tidak mahu keganasan berlaku.
“Jadi, (peralatan) itik membantu membuat keadaan tidak terlalu tegang,” kata wanita berumur 39 tahun itu.
Dia memberitahu hasil jualannya digunakan untuk membantu sukarelawan pasukan perubatan di lokasi bantahan berlangsung. – AFP