KAMPAR – Identiti tiga individu termasuk dua kanak-kanak yang maut dalam kejadian kebakaran rumah kedai di Jalan Kampar Barat 3, Taman Kampar Putra di sini pagi tadi, telah dikenal pasti pihak polis sebagai tiga beranak.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa merupakan seorang wanita, R. Kartiga, 35, manakala dua kanak-kanak tersebut merupakan anak lelaki dan perempuannya, S. Shaarhveesh, 12, dan S. Harrshikka, 6.
“Kejadian disedari orang awam yang melihat asap keluar dari bilik sewa tersebut sebelum dia menghubungi pihak bomba dan polis.
“Selepas pintu bilik berjaya dipecahkan dan kebakaran dipadamkan pihak bomba, ketiga-tiga mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas katil dipercayai telah mati akibat kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Hasron Nazri, polis menemui satu tong minyak petrol di belakang almari pakaian dan kesan renjisan minyak petrol di dinding bilik.
“Rakan baik mangsa ada memaklumkan bahawa mangsa sering menceritakan masalah keluarga dan perkahwinannya selain dia juga berada dalam kemurungan sejak dua minggu lalu.
“Siasatan mendapati motif kejadian adalah bunuh diri disebabkan masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi mangsa. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.-K! ONLINE