Rupa paras ayu menambat hati sesiapa sahaja melihat, berperwatakan lemah lembut bak gadis Melayu terakhir, serta dianugerahkan suara lunak menjadikan Fatin Fatinah Majidi seorang gadis yang unik.
Gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu tidak menyangka hobinya untuk menyanyi telah meletakkannya sebagai antara penyanyi diminati ramai di YouTube.
Bagaimanapun, gadis berusia 27 tahun tersebut tetap merendah diri dan menganggap dirinya masih perlu diperbaiki untuk menjadi penyanyi yang hebat.
Kepada Kosmo! Ahad Fatin berkongsi pengalaman pahit manis dalam dunia nyanyian.
Kosmo! Ahad: Bila mula menyanyi?
Fatin: Ketika usia 11 tahun. Pada asalnya hanyalah sekadar minat.
Mula memasuki pertandingan nyanyian?
Saya masuk pertandingan Bintang Kecil dan pertandingan nyanyian anjuran sebuah stesen radio pada usia 18 tahun.
Pernah dilamar oleh mana-mana syarikat rakaman?
Sebelum YouTube, saya bernaung di bawah satu syarikat rakaman selama setahun pada 2015.
Sejak bila aktif di YouTube?
Saya mula memuat naik video pada 2011.
Apa yang membuatkan anda terus memuat naik video di YouTube?
Dorongan daripada ibu dan bapa, serta rakan-rakan, saya tak sangka masih ramai yang boleh terima nyanyian saya walaupun telah berhenti seketika pada 2019.
Pernah terima kecaman?
Pernah dan saya ambil sebagai pengajaran.
Siapakah idola anda?
Datuk Sheila Majid. Teknik nyanyiannya sungguh sempurna dan memukau.
Ada buat lagu sendiri?
Ada. Lagu bertajuk Nostalgia.
Ada impian untuk buat konsert sendiri?
Buat masa sekarang, kalau ada jelajah mini pun saya bersyukur sangat. Impian untuk buat konsert memang ada kalau diizinkan.
Ada perancangan terbitkan album?
Ada. Sekarang saya dalam proses hasilkan album berbahasa Inggeris.
Ada berapa banyak lagu?
Saya ada empat single yang telah dimuat naik di YouTube.
Ada kata-kata semangat?
Teruskan dengan minat anda dan buat dengan sepenuh hati dalam apa jua bidang yang kita impikan. Jangan termakan kecaman dan belajar daripada kesilapan untuk jadi yang terbaik.