fbpx

Asal usul nama kota Pontianak masih misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUNGAI Kapuas yang menjadi laluan utama Sultan Syarif Abdurrahman ketika membuka Kota Pontianak suatu ketika dahulu. – Gambar hiasan

TERLETAK di Kalimantan Barat, Indonesia, kota Pontianak kini telah berusia hampir 250 tahun.

Dikenali juga sebagai Kota Khatulistiwa kerana terletak di atas garisan Khatulistiwa, Pontianak telah dibuka oleh Syarif Abdurrahman Alkadrie sekitar tahun 1771.

Beliau kemudian menjadi sultan pertama di Pontianak.

Kota tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri bagaimana ia mendapat nama.

Terdapat beberapa versi kota tersebut mendapat nama, namun hingga ke hari ini ia masih sekadar mitos dan hanya diceritakan daripada mulut ke mulut sejak beberapa generasi sebelum ini.

Salah satu versi adalah berkaitan dengan hantu puntianak.

Berdasarkan laporan agensi berita Tribun Pontianak, untuk membuka kota tersebut Syarif telah membersihkan kawasan hutan di persimpangan Sungai Landak, Sungai Kapuas Kecil dan Sungai Kapuas Besar untuk mendirikan penempatan.

Sejarah pembukaan kota Pontianak juga pernah ditulis oleh seorang sejarawan Belanda, V.J Verth di dalam bukunya yang bertajuk Borneos Wester Afdeling yang isi kandungannya berbeza daripada versi cerita yang beredar dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, Belanda mula masuk ke Pontianak pada tahun 1773.

Verth menulis bahawa Syarif Abdurrahman merupakan putera kepada seorang ulamak iaitu Syarif Hussein Ahmed Alqadrie yang meninggalkan kerajaan Mempawah dan memilih untuk merantau.

“Dia merantau ke wilayah Banjarmasin dan bernikah dengan adik Sultan Banjar, Sunan Nata Alam dan dilantik sebagai Pangeran.

“Syarif Abdurrahman juga seorang ahli perniagaan yang kaya dan memiliki kapal sendiri,” jelasnya.

 

GAMBARAN wajah puntianak yang sering dimomokkan dalam filem. – Gambar hiasan

 

Setelah menjadi seorang yang kaya dia kemudian mencuba untuk membuka wilayah sendiri di sebuah kawasan berhampiran Sungai Kapuas.

Dia bercadang untuk mengembangkan kawasan itu menjadi sebagai satu pusat perdagangan yang makmur.

Beberapa sumber memetik tentang mitos Pontianak mendapat nama setelah Syarif Abdurrahman sering diganggu hantu puntianak saat menyusuri Sungai Kapuas.

Ketika hampir tiba di daerah pertemuan antara Sungai Kapuas dan Sungai Landak, dia berasakan masih diganggu hantu tersebut.

Dia kemudian melepaskan tembakan meriam untuk mengusir puntianak tersebut dan ketika itulah sosok puntianak kelihatan seperti seorang perempuan berbaju putih dan berambut panjang.
Dikatakan daripada situ, kota Pontianak mendapat nama.

 

PENDUDUK kota Pontianak melepaskan tembakan meriam dalam acara-acara tertentu dikatakan sebagai simbolik menghalau hantu puntianak.– gambar hiasan

 

Bahkan budaya masyarakat di kota tersebut akan melepaskan tembakan meriam dalam acara-acara tertentu dikatakan sebagai simbolik untuk menghalau puntianak.

Dalam pada itu, berdasarkan sumber keluarga Kesultanan Pontianak, nama kota tersebut tidak ada hubungan sama sekali dengan hantu atau jembalang.

Sebaliknya nama tersebut diperoleh ketika Syarif Abdurrahman berlayar menyusuri Sungai Kapuas bagi memastikan apakah terdapat orang yang tinggal di wilayah tersebut.

Ketika itu dia bertemu dengan satu keluarga yang tinggal di dalam hutan berhampiran sungai tersebut dan mereka mengusahakan ladang dan menanam padi di situ.

Sewaktu bertemu dengan keluarga tersebut, dia melihat keluarga itu mempunyai bayi yang sedang tidur di atas kulit kayu dihasilkan daripada pokok ponti.

Daripada situlah kemudiannya tercetus nama Pontianak.

 

TAMAN Alun-Alun Kapuas yang kini menjadi tempat rekreasi keluarga. – gambar hiasan

 

Dalam pada itu, ada cerita lain daripada masyarakat setempat yang beranggapan dan percaya bahawa kota Pontianak terbentuk kerana ramai perempuan yang meninggal saat melahirkan anak lalu berubah menjadi hantu puntianak.

Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI