SETIAP manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Tidak kira berkedudukan sebagai menteri, berjawatan profesional seperti doktor mahupun golongan agamawan yang dianggap ‘dekat’ dengan Tuhan.
Golongan agamawan atau mereka yang bergerak di jalan Ilahi paling mudah menerima kecaman terutama pada zaman digital ini. Sekali tersilap langkah, masyarakat akan terus melupakan segala kebaikan yang pernah ditaburkan.
Habis satu kesilapan itu dicanang sampai bila-bila tanpa mengetahui atau terbukti sama ada benar-benar seseorang yang berperanan sebagai orang alim atau pendakwah itu benar-benar salah atau sebaliknya.
Tersilap langkah, dengan mudahnya seseorang itu terus dicop sebagai penunggang agama. Itulah barangkali harga yang perlu dibayar apabila peranan dicampur-adukkan dengan status selebriti.
Pendakwah bebas, Ebit Lew menyifatkan adalah tidak adil untuk sewenang-wenangnya melabelkan golongan pendakwah yang terpalit dengan kontroversi sebagai penunggang agama.
Tuturnya, setiap golongan manusia pasti melakukan kesilapan, tidak semestinya mereka berniat mempergunakan agama ke jalan yang salah.
“Kumpulan pendakwah juga manusia biasa jika mereka buat salah kita doakan mereka untuk diberi hidayah dan bertaubat. Bagi saya mereka bukan mahu mempergunakan agama, tetapi sebagai manusia akan ada kelemahan dan keaiban.
“Cuma saya selalu pesan kepada diri saya sendiri untuk sentiasa bermuhasabah, kita tidak tahu pengakhiran di mana, sekarang orang suka tetapi kita jangan pernah berhenti berbuat baik,” katanya.
Dakwah sebenar
Kata Ebit, 35, lagi, urusan dakwah tidak seharusnya dipandang hanya boleh bermula di atas pentas megah tetapi boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan perlu turun dari pentas.
“Sejujurnya, ramai bertemu dengan saya mahu menjadi pendakwah dan terkenal, namun dakwah bukan bermula dari atas pentas.
“Hal ini kerana, memandangkan dari atas pentas kita hanya berceramah tetapi turun dari pentas itulah kita sebenarnya mempraktikan ceramah kita dan ilmu yang disampaikan,” ujarnya.
Apa yang terucap dari bibir Ebit Lew sememangnya benar.
Tidak dinafikan, urusan dakwah hari ini hadir bersama populariti.
Ada penceramah dalam televisyen sehingga nama meniti di bibir ramai serta memiliki banyak pengikut Instagram, akhirnya ada yang terkandas dan terlupa tujuan sebenar awal kemunculan mereka iaitu menyampaikan kebaikan yang mengajak orang ramai mendekati agama.
Bagaimanapun, tidajk wajar perkara sebegitu diadili mengikut sifir ‘pukul rata’ seperti kata peribahasa berbunyi ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.
Benar, kecoh satu Malaya tentang seorang pendakwah selebriti yang didakwa merogol seorang gadis pada tahun lalu kini ditahan polis bagi membantu siasatan.
Dunia sekarang dipelopori kuasa media sosial. Pendakwah tersebut boleh jadi salah atau tidak bersalah. Dalam Twitter, ‘berkicau-kicau’ orang melontarkan ciapan. Ada yang membuta tuli menjatuhkan hukum, ada juga yang bersikap relevan menunggu keputusan pihak berkuasa sama ada dia salah atau sebaliknya.
Apa pun yang berlaku, kita tidak berhak membuat sebarang kesimpulan sendiri.
Biarkan kuasa mahkamah atau pihak berwajib yang menentukannya. Jika dia bersalah, hukumlah si pesalah jenayah itu adil-adilnya.
Jika tidak bersalah, ada balasan yang perlu dibayar pendekar-pendekar media sosial yang dengan mudahnya menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Wallahuaklam.