JOHOR BAHRU – Seramai 16 anggota polis dan seorang pegawai awam dari Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat dekat sini diarah menjalani kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat lima anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat yang disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 16 daripadanya telah menjalani ujian saringan ujian calitan hari ini, manakala seorang lagi akan menjalani ujian berkenaan esok.
“Balai Polis Parit Sulong bagaimanapun tidak akan ditutup dan akan terus beroperasi seperti biasa.
“Bagi membantu pengurusan di balai berkenaan, anggota dari Balai Polis (BP) Semerah, Yong Peng dan Sri Medan akan dipanggil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan tujuh anggota dan pegawai polis Johor disahkan positif Covid-19 membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri. – K! ONLINE