PENULIS cuba untuk menikmati single perdana Cik B menerusi aplikasi Spotify, namun malangnya lagu tersebut tiada di situ.
Satu cara yang boleh dilakukan untuk menjadi pendengar Tolonglah hanyalah dengan melayari YouTube.
Perihal tersebut barangkali satu aspek yang perlu diberi perhatian oleh Cik B dan pasukannya. Tidak salah untuk memasukkan lagu berkenaan dalam pelantar digital seperti Spotify, Apple Music dan lain-lain supaya muzik anda boleh dinikmati semua golongan.
Jika berdasarkan maklumat dalam YouTube dan Seventeen Eleven Music, Tolonglah didakwa sebagai karya ciptaan Cik B bersama ibunya, Datuk Seri Vida.
Bagaimanapun, menerusi temu bual bersama Kosmo! baru-baru ini, Cik B memaklumkan, Yonnyboii merupakan individu bertanggungjawab yang menghasilkan melodi dan lirik lagu berkenaan. Maka, tidak hairanlah ramai yang berpendapat bahawa lagu tersebut mempunyai bunyi seakan-akan Yonnyboii.
Menyentuh soal komposisi muzik, Tolonglah mempunyai kekuatan yang kukuh. Intro muziknya sahaja sudah berjaya
menarik perhatian sesiapa untuk terus mendengar kalimat yang bakal dilagukan.
Biarpun ramai yang memberi komen, vokal Cik B kedengaran seperti Yonny, itu sahaja sudah memberi keistimewaan buat dirinya, sekali gus membezakan Cik B dengan penyanyi wanita lain.
Saat Cik B mula menyanyi rap, di situlah letaknya keistimewaan bakat seni anak kesayangan Datuk Seri Vida
itu. Semua sedia maklum. betapa pemalunya Cik B suatu ketika dahulu.
Bass pecah
Namun, perlahan-lahan gadis comel itu membina ‘empayar’ sendiri. Bermula dengan perniagaan, kemudian berlakon dan sekarang menyanyi. Berbeza dengan ibunya, penulis boleh kelaskan, penglibatan Cik B akan dipandang lebih serius kerana isi yang disampaikan berkisar tentang isu berat yang senang berhubung dengan orang lain.
Tolonglah membawa pendengar menyelami kehidupan waktu kecil Cik B yang penuh keperitan seperti pernah didera pembantu rumah, kehilangan adik-beradik disebabkan tragedi kebakaran serta konflik yang dihadapi dengan bapa kandungnya.
Keraguannya cuma satu, apabila pada bahagian hujung lagu tersebut kedengaran seperti bunyi bass pecah. Adakah disengajakan atau memang pasukan Cik B terlepas pandang tentang perkara tersebut tidak dapat dipastikan.
Hanya Cik B yang boleh menjawabnya, pendengar hanya menilai. Apa pun, selamat maju jaya buat tauke jenama Cik B Salted Egg Salmon Skin itu! Tahniah juga kerana berjaya sohor kini nombor satu dalam YouTube!