HULU TERENGGANU – Pergolakan politik di Perak merupakan perkembangan yang begitu mengejutkan dan di luar dugaan serta tidak seharusnya terjadi di saat negara kini berdepan pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, pergolakan tersebut tidak akan berlaku sekiranya perjuangan politik adalah berpaksikan agama, bangsa dan negara bukannya kuasa.
“Secara peribadi, saya terkejut kerana pada saat kita berusaha ke arah mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan parti-parti Melayu dan Islam tiba-tiba satu benda di luar dugaan berlaku.
“Sebelum ini ada dengar-dengar tetapi kepimpinan UMNO menafikan dan memberi jaminan ia hanya desas desus namun tiba-tiba semalam (kelmarin) kita dikejutkan dengan pergolakan politik di Perak,” katanya ketika ditemui sewaktu menziarah mangsa banjir dan penduduk yang kurang sihat di Kampung Pantai Ali di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung pergolakan politik setelah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal perolehi sokongan majoriti dalam usul undi tidak percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak kelmarin.
Rosol tidak menolak kemungkinan budaya ‘cah keting’ tersebut berpunca daripada segelintir ahli politik yang tidak berpuas hati atau mahukan lebih kuasa.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Hulu Terengganu mengharapkan pergolakan berlaku di Perak tersebut tidak merebak di negeri-negeri lain kerana ia hanya menyebabkan rakyat semakin muak serta benci kepada ahli politik. – K! ONLINE