MADRID – Impian Marc Marquez untuk kembali bersaing dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 tidak kesampaian apabila pelumba Sepanyol itu telah menjalani pembedahan ketiga lengan kanannya semalam.
Lebih menyedihkan, juara dunia enam kali MotoGP itu dikatakan bakal terlepas tujuh perlumbaan MotoGP musim 2021 berikutan kecederaan yang menimpanya pada perlumbaan pembukaan Julai lalu di Grand Prix (GP) Sepanyol.
Akibat pembedahan tersebut, Marquez dijangka memerlukan kira-kira enam bulan untuk menjalani proses pemulihan dan berdepan proses yang panjang untuk pulih.
Honda dalam satu kenyataan menjelaskan, Marquez terpaksa menjalani pembedahan ketiga semalam di Madrid dan mengambil masa kira-kira lapan jam.
“Marquez telah menjalani pembedahan baharu di tangan kanannya kerana proses pemulihan sebelum ini dilihat lambat dan tidak bertambah baik terutama di bahagian tulangnya.
“Pembedahan dilakukan di Hospital Ruber Internacional untuk membuang kepingan plat sebelumnya dan diganti dengan kepingan plat baharu.
“Pembedahan tersebut berlangsung selama lapan jam bersama pakar bedah berpengalaman iaitu Samuel Antuna, Ignacio Roger de Ona, Juan de Miguel, Aitor Ibarzabal dan Andrea Garcia Villanueva,” kata Honda.
Pelumba berusia 27 tahun dari Catalonia itu sebelum ini sudah menjalani dua pembedahan sejak kemalangan pada Julai lalu.
Meskipun Honda tidak menjelaskan berapa lama Marquez akan kembali semula berlumba namun akhbar Sepanyol menjelaskan, pelumba berkenaan tidak sempat beraksi sehingga Mei tahun depan.
Perlumbaan MotoGP 2021 bakal berlangsung sebanyak 20 pusingan dan perlumbaan pembukaan bermula di GP Qatar iaitu 28 Mac . – AGENSI