KUALA PILAH – Anggota bomba bertungkus lumus membersihkan tumpahan diesel susulan kejadian kemalangan di jalan Jemapoh Pekan Kuala Pilah-Batu Kikir membabitkan lori muatan diesel, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian berkenaan, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.19 pagi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni, sebaik tiba di lokasi terdapat satu kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan diesel 10,000 liter yang terbabas.
“Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berusia 30-an mengalami kecederaan ringan susulan kejadian berkenaan.
“Terdapat tumpahan minyak diesel di atas jalan raya. Kita melakukan kerja-kerja pembersihan minyak sehingga pukul 9.30 pagi dan kemudiannya disambung oleh kakitangan Selia Selanggara,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Eva berkata, pasukan bomba memantau keadaan sehinggalah lori muatan diesel yang terbalik berjaya ditegakkan semula.
Menurutnya, sebaik ditegakkan, laluan berkenaan disembur dengan air dan ditabur dengan serbuk papan.
“Kerja-kerja pembersihan kemudiannya disambung oleh kakitangan Selia Senggara.-K!ONLINE