Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
PADA tahun 2016 bertempat di North American International Auto Show, Detroit, Amerika Syarikat (AS), pengeluar kereta jenama mewah Lexus telah membuat debut model LC.
Model LC500 itu khabarnya merupakan sebuah model konsep pada awalnya dan dijadikan sebuah jentera sport selepas mendapat sambutan ketika dipamerkan beberapa tahun sebelum dilancarkan.
Penulis difahamkan, LC membawa maksud luxury coupe dan model ini dilahirkan bagi menggantikan model sport terdahulu mereka, SC.
Lexus Malaysia telah melancarkan model LC500 pada Julai 2017. Kemudian, pada 18 November lalu, jenama tersebut telah melancarkan model convertible untuk pasaran di negara ini secara maya di Facebook Live.
Namun, para pengamal media permotoran tempatan telah diberi peluang menyertai sesi penggambaran dengan model binaan bumbung boleh buka ini beberapa hari sebelum itu di Metal Studio by Metal Bees, Sunway Damansara, Selangor.
Kehadiran Lexus LC500 Convertible di Malaysia menjadi penanda aras kepada era baharu bagi kenderaan berprestasi dengan binaan bumbung boleh dibuka bagi pasaran tempatan.
Model Lexus LC500 Convertible merupakan yang pertama daripada jenama pengeluar mewah itu dalam segmen kenderaan bumbung terbuka dengan rekaan dan kualiti lebih segar sekali gus memperkukuh barisan model flagship Lexus.
Menyentuh tentang kereta dengan bumbung boleh dibuka itu, LC500 Convertible hanya memerlukan masa 15 saat untuk menurunkan bumbung dan 16 saat untuk menaikkannya semula.Proses itu dilakukan dengan satu sentuhan butang sahaja. Justeru, tiada masalah basah lencun jika memandu dalam hujan lebat.
Dinamik
Model ini menggunakan mekanisme lipatan bumbung dengan kuasa hidraulik. Bumbung lembut yang digunakan pula terdiri daripada empat lapisan material iaitu tiga lapisan fabrik dan material NVH.
Bumbung LC500 Convertible boleh dibuka dan ditutup ketika kereta ini sedang bergerak. Penulis dimaklumkan kelajuan maksimum untuk operasi tersebut ialah 50 kilometer sejam (km/j).
Penutup khasnya yang hadir bagi melindungi ruang simpanan bumbung setelah dilipat secara tidak langsung menjadikan penampilan LC500 Convertible lebih kemas ketika bumbung dibuka.
Apa yang menarik, struktur dan mekanisme bumbung yang ringan turut menyumbang kepada aspek dinamik kereta itu serta mampu menghindari bunyi dan angin daripada menembusi ruang barang mahupun kabin.
LC500 Convertible lebih berat 90 kilogram (kg) berbanding versi biasanya, manakala ruang barangan yang tersedia pula berkapasiti 149 liter.
Rekaan menawan dari pelbagai sudut, LC500 secara umumnya menjadi bukti kepada kesungguhan, bukan hanya dari segi rekaan tetapi juga dari aspek kejuruteraan serta kehalusan buatan pada tahap kualiti terbaik Lexus.
Jika dilihat secara keseluruhan, LC500 Convertible mengambil inspirasi kereta konsep LF yang pernah ditampilkan sebelum ini.
Pada bahagian hadapannya kelihatan rendah dan tajam dengan kehadiran lampu projector LED serta jeriji spindle yang sinonim dengan model-model Lexus.
Lampu belakang dengan kombinasi LED sepenuhnya tampak memiliki gaya tersendiri, manakala lampu brek ketiganya disepadukan pada hujung bahagian penutup ruang barangan jelas kelihatan kemas.
Penggunaan rim dua tona bersaiz 21 inci pula melengkapkan imej sporty dan maskulin kereta ini.
Kabin
Ruang kabin Lexus LC500 Convertible hadir dengan tempat duduk 2+2 yang mana tempat duduk belakangnya lebih cenderung menjadi ruang simpanan barang.
Posisi tempat duduk membolehkan pemandu melihat dan memerhatikan jalan dengan lebih jelas disebabkan kedudukan bonet serta profil panel instrumennya yang lebih rendah. Model ini menampilkan tempat duduk sport balutan kulit semi-aniline yang lengkap dengan liang dan pemanas. Kerusi pemandu juga hadir dengan larasan elektrik lapan arah serta fungsi memori.
Enjin
Direka untuk keselesaan dan praktikaliti, kereta ini menampilkan stereng tiga jejari balutan kulit bersama tombol penukaran gear dengan rekaan Takumi. Bagi memenuhi permintaan pemandu moden, LC500 Convertible datang dengan skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci dengan paparan terpisah, yang menyediakan capaian segera kepada audio atau kawalan pendingin hawa mahupun pelbagai sistem lain, termasuk sistem tunjuk arah dengan pengaktifan suara.
Sistem ini yang turut disepadukan bersama Apple CarPlay dan Android Auto membolehkan pengguna memaparkan apa yang ada pada telefon mereka ke skrin utama.
Bagi penggemar audio yang teliti, LC 500 Convertible dimuatkan dengan 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System. Berinspirasikan Omotenashi Lexus, sistem ini akan melaraskan secara automatik aspek akustiknya berdasarkan bunyi persekitaran.
Tidak kira ketika bumbung dibuka atau ditutup, pengalaman kualiti bunyi yang hebat sentiasa akan dapat dinikmati pemandu dan penumpang.
Jurutera Lexus turut menghasilkan rekaan kabin yang dapat mengurangkan bunyi angin melalui bentuk unik pada beltline serta rekaan bentuk bahagian belakangnya menghalang angin daripada masuk.
Sebuah penampan angin lutsinar juga diletakkan di belakang tempat duduk untuk membantu menjadikan kabin lebih senyap sehingga kelajuan mencecah 60km/j.
Lexus LC500 Convertible menggunakan enjin 5.0 liter V8 dan transmisi automatik Direct Shift sepuluh kelajuan.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 470hp dan 540Nm. Kadar pecutan dari pegun hingga 100km/j hanya 4.9 saat. Kelajuan maksimum yang dicatat di atas kertas pula ialah 270km/j.
Banyak pilihan warna ditawarkan untuk pembeli model ini seperti White Nova Glass Flake, Deep Blue Mica, Sonic Silver, Terrane Khaki Mica Metallic, Naples Yellow Contrast Layering, Blazing Carnelian Contrast Layering, Radiant Red Contrast Layering, Black, Graphite Black Glass Flake, Dark Grey Mica dan Sonic Titanium.
Selain itu, Lexus Malaysia turut menawarkan pilihan warna bumbung sama ada hitam atau biege. Bagi warna ruang dalaman, LC500 Convertible menyediakan pilihan antara Flare Red, Black dan Ocher.
Lexus LC500 Convertible dijual pada harga RM1,350,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan, namun tidak termasuk insurans.
Model ini datang dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000km yang pertama, selagi ia diselenggara oleh juruteknik profesional Lexus yang terlatih di semua pusat Lexus bertauliah.
Serahan pembelian terawal LC500 Convertible akan dilakukan pada awal Februari 2021.