PETALING JAYA – Gara-gara melakonkan watak antagonis menerusi drama Cinta Sekali Lagi, pelakon cantik manis Hannah Delisha dikecam hebat netizen sehingga ada yang menggelarkan gadis itu lampir.
Lampir merujuk kepada gelaran wanita tua berwajah hodoh.
Watak Amani yang dibawakan Hannah, 23, cukup membekas dalam jiwa penonton kerana sanggup merampas abang iparnya, Fahad lakonan Saharul Ridzwan.
Episod yang ditayangkan kelmarin memaparkan babak Amani cuba menjerat Fahad dengan menggunakan nasi kangkang iaitu amalan ilmu sihir biasanya digunakan untuk menundukkan seseorang.
Rata-rata pengguna Twitter meluahkan perasaan marah dan tidak puas hati dengan tindakan melampau Amani.
“Sudah 2020, tetapi rupanya nasi kangkang masih relevan dalam kalangan orang Melayu,” tulis seorang pengguna.
Di laman Facebook pula, ramai netizen meluahkan rasa geram dengan watak Amani yang disifatkan sangat jahat.
Selain lampir, ada pengguna media sosial yang melabelkan Amani berperangai jahat tidak ubah seperti syaitan kerana menggunakan ilmu hitam untuk menggoda suami orang.
Dalam pada itu, Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch berkata, dia sedar dirinya menjadi mangsa kecaman netizen sehingga berasa takut untuk membuka Twitter.
“Terlalu banyak kecaman yang saya terima. Semoga kita dilindungi daripada manusia seperti Amani. #cintasekalilagi,” tulis Hannah di Twitternya.
Cinta Sekali Lagi turut dibintangi Nelydia Senrose yang membawa watak Amanda iaitu kakak kepada Amani.
Drama itu bersiaran pada pukul 7 malam kecuali Sabtu dan Ahad di TV3.