fbpx

Ketukan misteri merebak ke Alor Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMALINA (kanan) dan ibunya, Fatimah Kassim menunjukkan pintu rumah mereka yang diketuk pada Rabu lalu.

ALOR GAJAH – Gangguan ketukan tanpa salam yang berlaku di Sabak Bernam pada bulan lalu masih belum terjawab, namun kini beberapa penduduk di daerah ini pula dikejutkan dengan kejadian sama.

Terbaharu, kira-kira lima buah rumah di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini diganggu ketukan kuat pada awal pagi Rabu lalu.

Difahamkan, selain lima rumah tersebut, kejadian ketukan pintu itu turut didengari oleh beberapa penghuni rumah berhampiran.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 3 hingga 3.20 pagi.

Dakwa penduduk, Rasemah Alias, 62, pintu rumahnya diketuk pada pukul 3.15 pagi semasa dia bangun untuk solat.

“Saya dengar bunyi pintu rumah diketuk. Bunyi itu berlaku dalam tempoh kurang lima minit,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada mulanya, Rasemah mengabaikan bunyi itu, namun ketukan semakin kuat menyebabkan dia ketakutan.

Rasemah memberitahu, ini kali pertama dia diganggu sejak tinggal di kampung itu lebih 30 tahun lalu.

RASEMAH turut diganggu dengan ketukan misteri di rumahnya di Kampung Paya Rumput, Alor Gajah.

Terdahulu, seorang individu memuat naik status di laman Facebook mendakwa misteri ketukan pintu tanpa salam menghantui beberapa rumah penduduk di Kampung Paya Rumput.

Sementara itu, Azizah Yassin, 59, pula memberitahu, dia mendengar bunyi ketukan dari rumah anak saudaranya pada pukul 3.20 pagi.

“Saya mengejutkan suami, namun dia menganggap bunyi bising babi hutan,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Amalina Abdul Rahim, 28, mendakwa, dia terdengar bunyi ketukan pintu pada pukul 3 hingga 3.15 pagi semasa terjaga untuk menyusukan anaknya.

“Ketukan pertama tidak begitu kuat, namun saya terkejut dengar ketukan kali kedua.

“Saya hubungi ibu di bilik sebelah, ibu ingat anak saya yang ketuk pintu biliknya, namun apabila dibuka tiada orang,” katanya.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Paya Rumput, Azman Abu Hassan berkata, dia menerima aduan mengenai ketukan itu membabitkan lima buah rumah penduduk pada Rabu lalu.

“Kita sudah menganjurkan majlis bacaan Yasin. Alhamdulillah, mereka tidak lagi diganggu,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, empat buah kampung di Sabak Bernam diselubungi misteri apabila rumah mereka diketuk sejak 18 November lalu.

Gangguan itu semakin menakutkan apabila penduduk mendakwa melihat jelmaan pontianak bersebelahan pokok kelapa di Kampung Baharu, namun sehingga kini misteri itu masih belum terungkai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI