fbpx

Harimau Malaya dapat jersi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN melancarkan jersi baharu skuad Harimau Malaya yang akan dipakai oleh pemain negara pada aksi selepas ini. – FB FAM

BARISAN pemain Harimau Malaya semestinya bersemangat tinggi dan sudah tidak sabar untuk turun padang beraksi selepas setahun ‘terkurung’ tanpa sebarang perlawanan antarabangsa disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19.

Ia selepas Harimau Malaya kini digayakan dengan rekaan dua jersi baharu tajaan Nike bagi edisi 2020 hingga 2022 yang dilancarkan secara maya dalam semua platform media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, penampilan Harimau Malaya selepas ini akan kelihatan lebih garang dan pada masa sama mampu menaik­kan semangat dan aura pemain apabila bertembung dengan mana-mana pasukan lawan.

“Bukan saja jersi home tetapi away juga menampilkan warna tradisi kita iaitu hitam dan ku­ning. Ia tentunya akan dapat memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

“Saya yakin apabila pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi bertenaga di atas padang seterusnya meraih lebih banyak kemena­ngan serta kejayaan buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya.

Sebagai simbolik pelancaran, Hamidin menjadi individu pertama menerima kedua-dua jersi laman sendiri dan tempat lawan untuk edisi 2020-2022 daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Majlis pelancaran itu turut menampilkan 10 pemain kebangsaan seperti Aidil Zafuan Abd. Radzak, Shahrul Saad, Syahmi Safar, La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Nor Azam Abdul Azih, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Fauzi dan Farizal Marlias serta penampilan istimewa ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Sebagai rekod, Harimau Malaya yang kini pada No. 153 dunia, akan kembali meneruskan sai­ngan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac 2021 serta Piala Suzuki AFF 2020 yang ditunda ke April dan Mei tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI