KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan spekulasi kemungkinan kemelut politik Perak boleh menular di Sabah.
“Apa yang berlaku di Perak ketika ini adalah sentimen politik di sana tetapi kita di Sabah ada sentimen tersendiri kerana kita sentimental dan kita yakin dengan kepimpinan di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membawa Sabah ke arah kemajuan.
“Malah pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri ketika ini juga dilihat saling bekerjasama serta memahami antara satu sama lain sekaligus sedar kita tidak boleh berpecah belah,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Sabah sebentar tadi.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika mengulas mengenai spekulasi pihak tertentu mengatakan situasi terkini berlaku di Perak mungkin turut berlaku di Sabah.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, UMNO Sabah tidak akan sesekali mengkhianati rakan parti dalam GRS.
“Kita turut berharap parti lain dalam gabungan ini juga tidak mengkhianati UMNO serta Barisan Nasional (BN).
“Isu di Perak tidak akan menjejaskan kedudukan kita di Sabah. Kita di sini masih kukuh,” katanya.-K!ONLINE