GERIK – Seorang anggota polis dari Balai Polis Hutan Melintang maut dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 63.9, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 1 petang itu mengorbankan Lans Koperal Ahmad Firdaus Ismail, 24, akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu Toyota Vios dalam perjalanan ke Hilir Perak untuk pulang bertugas dari Tanah Merah, Kelantan.
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah lori dari arah Pantai Remis ke Kuala Terengganu hilang kawalan lalu masuk ke laluan kereta dipandu mangsa.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 43 tahun cedera ringan.
“Dua lagi penumpang lori masing-masing lelaki berusia 19 dan 16 tahun tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE