MANCHESTER – Kesilapan taktikal pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer membawa padah buat pasukan itu apabila tewas 1-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi semalam.
Keputusan tidak mengeluarkan pemain tengah, Fred lebih awal mengundang bencana buat skuad The Red Devils apabila dia diarah keluar padang pada minit ke-70 selepas dilayangkan kad kuning kedua.
Solskjaer tanpa berselindung mengakui Fred bernasib baik tidak dilayangkan kad merah lebih awal selepas pemain Brazil itu menghantuk kepala Leandro Paredes pada minit ke-24.
“Fred bermain baik tetapi saya sudah pesan supaya menampilkan aksi lebih tenang pada separuh masa kedua. Saya juga percaya dia bernasib baik tidak dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.
“Saya akui ada terfikir untuk keluarkannya pada waktu rehat, namun dia adalah pemain yang berdisiplin. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila dilayangkan kad kuning kedua,” ujar beliau.
Sementara itu, pengendali dari Norway berkenaan berpendapat Fred langsung tidak berniat untuk mengasari Ander Herrera sebelum diarahkan keluar padang.
“Saya tidak menuduh Ander (Herrera) melakukan provokasi terhadap Fred. Saya fikir Fred sudah boleh mengawal emosinya pada separuh masa kedua, namun dikecewakan oleh keputusan pengadil,” katanya. – AGENSI