CYBERJAYA – Kewujudan akuan-akuan palsu di platform media sosial yang menyebarkan kandungan mengelirukan, ucapan kebencian dan kandungan berbentuk provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara perlulah ditangani.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui kenyataan media menyarankan orang ramai agar melaporkan kewujudan akaun-akuan palsu melalui ruangan Laporan Akaun Palsu yang disediakan pihak penyedia platform media sosial.
Katanya, tindakan sedemikian perlu bagi mengelakkan berlakunya penyebaran kandungan tidak baik seperti berita yang mengelirukan, ucapan kebencian dan kandungan berbentuk provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa menjauhi dan berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu yang berleluasa di media sosial.
“Pengguna dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah terhadap kewujudan akaun-akaun palsu ini dan perlu mengambil tindakan segera jika mereka menemui akaun-akaun sedemikian.
“Mereka boleh menangani kewujudan akaun-akaun yang diragui ketulenannya dengan melaporkannya melalui ruangan Laporan Akaun Palsu yang disediakan pihak penyedia platform media sosial bagi penelitian dan tindakan lanjut berdasarkan pelanggaran Piawaian Komuniti yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
SKMM berkata, ada kalanya akaun tidak menunjukkan tanda palsu atau berniat jahat pada mulanya, maka penyedia platform memberi mereka keraguan yang munasabah sehingga mereka menunjukkan tanda aktiviti yang tidak baik.
Menurutnya, penyedia platform akan menemui akaun-akaun itu apabila sistem pengesanan mereka mengenal pasti tingkah laku yang tidak baik atau jika ada pengguna yang melaporkannya kepada mereka.
“Mencegah akaun palsu adalah salah satu cara untuk menghentikan penyalahgunaan dan pelindungan lain juga harus diberikan sebaik sahaja kandungan dihasilkan dan interaksi berlaku dengan akaun-akaun palsu ini,”katanya.-K! ONLINE