TUARAN – Seorang remaja lelaki melalui detik cemas apabila diserang seekor buaya ketika menyeberangi sungai di Kampung Mengkabong petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Mohammad Azlan Arif Abdullah, 16, cedera di bahagian badan, kaki kanan dan perut ekoran digigit seekor buaya berukuran panjang hampir dua meter.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pemeriksaan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati rumah mangsa terletak berhampiran dengan sungai paya bakau di kawasan kampung berkenaan.
“Sewaktu kejadian, mangsa bersama tujuh rakan sebayanya sedang mencari lokan dan siput di kawasan tebing sungai. Mangsa kemudiannya dipercayai cuba menyeberangi sungai yang berada pada kedalaman paras pinggang sebelum digigit buaya.
“Berikutan kejadian itu, remaja terbabit mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Hamizi menyatakan pihaknya juga sudah melawat mangsa yang kini dirawat di wad kecemasan Hospital Tuaran bagi mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, doktor memaklumkan mangsa akan dirujuk ke Hospital Papar atau Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Mohd. Hamizi berkata, kes berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Perhilitan bagi tindakan lanjut.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat aktiviti yang berhampiran sungai agar kejadian sama tidak berulang kembali,” katanya. – K! ONLINE