PASIR PUTEH – Seorang pesakit angin ahmar mampu menarik nafas lega apabila dia dan keluarga diselamatkan oleh petugas banjir selepas lima jam terperangkap di dalam rumahnya di Kampung Wakaf Bunut di sini semalam.
Samsudin Awang, 66, berkata, dia, isterinya, Rokiah A. Ghani, 62 bersama dua orang anaknya berusia 29 dan 35 tahun tidak dapat berpindah ke kawasan lebih selamat apabila mereka takut untuk meredah limpahan air sungai yang masuk ke dalam rumah mereka.
Menurutnya, air naik secara mendadak setinggi 1.5 meter dengan arus deras dalam tempoh satu jam di sekitar halaman rumah.
“Saya tidak berdaya mengharung air setinggi paras pinggang untuk ke kawasan yang lebih tinggi kerana perlu dipapah. Ini kerana, saya berjalan dengan menggunakan tongkat.
“Sepanjang lima jam terperangkap, saya hanya duduk di atas kerusi. Memang sejuk, namun saya bersama keluarga tiada pilihan lain hanya menunggu perlu bantuan tiba,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kamil Tiga di sini hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat turut hadir meninjau keadaan mangsa banjir di PPS tersebut.
Samsudin berkata, sebelah kanan badannya sudah tidak berfungsi selepas diserang angin ahmar sejak 12 tahun yang lalu.
Katanya, dia dan keluarga diselamatkan sepasukan petugas banjir pada pukul 8 malam sebelum dipindahkan ke PPS. – K! ONLINE