PETALING JAYA – Dua isu utama iaitu penjualan ladang sawit 15,000 hektar milik kerajaan negeri secara rundingan terus tanpa tender dan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar merupakan antara punca Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendapat kehilangan sokongan pada Ahmad Faizal berpunca dari beberapa perkara itu yang dilihat tidak disenangi UMNO negeri itu.
“Tahun lepas, Allahyarham ADUN Slim UMNO (Datuk Khusairi Abdul Talib) telah memberi amaran kepada kerajaan PH serta Menteri PH dulu untuk tidak menjual ladang sawit 15,000 hektar pada ketika harga minyak sawit murah kepada sebuah syarikat Taiko Plantations Pte Ltd yang berpengkalan di Singapura.
“Ladang ini dah lama dimilik kerajaan Perak di bawah BN dan Allahyarham ADUN Slim pernah menjadi pengerusi syarikat kerajaan negeri yang memiliki ladang itu,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar (undi percaya) yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Dalam undi sulit terhadap usul itu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong beliau sebagai Menteri Besar manakala 48 ADUN tidak menyokong dan satu berkecuali.
Usul tersebut dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manap Hashim. – K! ONLINE