IPOH – Padah mengaibkan pekerja kedai runcit wanita dengan kata-kata kesat serta meludahnya, seorang penjual ikan dihukum denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Noor Azreenliana Mohd. Darus menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, M. Gunalan, 47, mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita, Nor Asni Zilzawani Mohd. Zahid, 22, dengan cara mengeluarkan kata-kata ‘Bodoh, pukimak Melayu’ dan meludah ke arahnya dengan niat mengganggu kesantunan mangsa.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di kedai 99 Speedmart Lahat Baru di sini pada pukul 8.40 malam 30 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sekali sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Robert S. Gnanarajan.
Nur Asmaniza memohoh mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan tertuduh telah melakukan sesuatu tindakan biadab serta mengganggu sensitiviti Melayu.
“Tindakan meludah mangsa ketika wabak Covid-19 melanda negara juga merupakan suatu sikap yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Gnanarajan dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang ringan terhadap tertuduh memandangkan dia sudah tidak mempunyai pendapatan selama enam bulan kerana perniagaannya terjejas akibat Covid-19.
Noor Azreenliana kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada tertuduh dan jika gagal membayar, dia akan dikenakan hukuman penjara selama empat bulan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang lelaki yang terlibat dalam pertengkaran dan meludah seorang jurujual di sebuah kedai runcit di Lahat Isnin lalu sehingga video kejadian tersebut tular di media sosial disahkan berada di bawah pengaruh alkohol.
Video berdurasi 35 saat itu memaparkan tindakan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat selain meludah seorang pekerja wanita hanya kerana ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di kedai berkenaan. -K! ONLINE