fbpx

Mengaku salah halang tugas, cedera anggota polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Samsuri Elias, 44, ketika dibawa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KAJANG – Padah menghalang tugas dan mencederakan anggota polis serta memasukkan dadah dalam badan, seorang peniaga keropok lekor dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Samsuri Elias, 44, selepas tertuduh mengaku salah atas tiga pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa dua anak itu didakwa dengan sengaja tidak memberikan kerjasama kepada anggota polis Raja Mohd. Ali Omar Akasyah Raja Sulaiman dalam menjalankan fungsi jawatannya.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anggota polis Mohd. Haslizan Hashim daripada menjalankan kewajipannya yang didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta di Taman Sri Reko di sini pukul 11.30 malam pada 30 November lalu.

Sementara bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa telah memberikan diri sendiri dadah berbahaya iaitu morfin dengan cara memasukkan ke dalam tubuh badan. Kesalahan itu dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pukul 3.30 pagi pada 7 Disember 2018.

Pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan pengawasan tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dipenjara 12 bulan manakala pertuduhan ketiga tertuduh dipenjara tiga bulan.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak yang mana pertuduhan pertama dan kedua tertuduh dipenjara enam bulan.

Pertuduhan ketiga mahkamah memerintahkan ia berjalan secara berasingan iaitu tertuduh dipenjara tiga bulan.

Kesemua jumlah hukuman penjara sembilan bulan itu bermula hari ini.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya diringankan hukuman kerana menyesal dengan apa yang telah dilakukan.

“Saya menyesal dengan perbuatan saya, mohon Yang Arif menjatuhkan hukuman serentak. Saya mempunyai dua orang anak dan hanya bekerja sebagai peniaga keropok lekor,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa sedang menjalankan tugas.

“Selain itu, tertuduh juga turut mempunyai satu kes dikehendaki berkaitan narkotik, pihak pendakwaan mohon hukuman dijalankan secara berasingan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI