LONDON – Pelumba Honda, Marc Marquez berada dalam dilema untuk membuat keputusan sama ada perlu menjalani pembedahan ketiga lengan kanannya atau tidak menjelang saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021.
Juara dunia enam kali MotoGP itu dikatakan perlu menjalani satu lagi pembedahan selepas kecederaan yang dialami akibat terlibat dalam kemalangan pada Julai lalu masih belum pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun, ketika ini masih belum ada kenyataan rasmi dari Honda mahupun dari Marquez sendiri mengenai pembedahan ketiga yang perlu dilakukannya.
Menurut Sky Sport Italia, Marquez dan keluarganya sedang memikirkan risiko yang akan dihadapinya sebelum membuat keputusan pembedahan tersebut dalam minggu ini.
Sekiranya Marquez bersetuju untuk melakukan pembedahan ketiga, pelumba Sepanyol itu akan berehat panjang sekali lagi sekali gus menjejaskan peluangnya untuk turun pada aksi pramusim 2021.
Bukan itu sahaja, Marquez juga akan terlepas beberapa perlumbaan dalam saingan MotoGP 2021. Justeru, keputusan yang akan diambil Marquez minggu ini sangat penting karier masa depannya. – AGENSI