fbpx

Kutukan benam minat berbahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

KETIKA penulis sedang asyik mencari bahan berita dalam Twitter, mata tertancap pada satu bebenang ciapan.

Dalam ciapan milik seorang remaja itu, dia kecewa dengan sikap segelintir warga maya yang sering mentertawakan dirinya sekiranya memuat naik status dalam bahasa Inggeris.

Ciapannya menggunakan bahasa Inggeris turut dijadikan bahan jenaka dalam kalangan netizen kerana penggunaan tatabahasa yang salah.

Luah remaja itu, akibat se­ring diejek dan digelakkan oleh individu lain, dia serik dan takut untuk bertutur menggunakan bahasa Inggeris.

Remaja berkenaan hilang keyakinan untuk mempelajari bahasa kedua yang penting dalam bidang pekerjaan nanti.

Dalam bebenang ciapannya, remaja tersebut memohon netizen menghentikan sikap suka menghentam kesalahan orang lain, mudah kata jangan pandang rendah terhadap mereka yang ­ingin belajar.

Dalam hal tersebut, penulis tidak nafikan bahawa ramai kawan, malah ada ahli keluarga sendiri kurang keyakinan dan takut untuk berbahasa Inggeris di khalayak ramai.

Bagi golongan tersebut, jika tersalah cakap, pasti akan ada yang mengejek, memarahi dan mentertawakan mereka.

Pemikiran tersebut tidak seharusnya wujud pada zaman serba moden ketika ini.

Menyokong perkara tersebut, pensyarah bahasa Inggeris Universiti Tun Abdul Razak, Imratul Najwa Abdul Latif berkata, rak­yat negara ini khususnya warga maya tidak seharusnya mengejek orang lain sekiranya mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Kita seharusnya menyokong mereka yang ingin belajar bukannya menjadikan kesalahan mereka sebagai bahan jenaka terutama dalam media sosial.

“Tanpa disedari, semua ejekan itu akan merendahkan keyakinan mereka untuk terus mempelajari bahasa asing tersebut,” katanya.

Ujarnya, individu yang dikritik kerana tidak fasih bahasa Ing­geris perlu membuang rasa malu untuk menuturnya.

“Sebenarnya tiada masalah pun apabila orang berbahasa Inggeris walaupun tatabahasa mereka teruk kerana ia bukan bahasa pertama kita.

“Tegurlah dengan elok dan bukan dengan sindiran,” katanya.

Dalam pada itu, Najwa juga berharap mereka yang ingin belajar apa sahaja jenis bahasa kedua supaya tidak takut untuk me­lakukan kesalahan.

“Mereka tidak seharusnya takut atau malu untuk berbahasa Inggeris di depan khalayak ramai hanya kerana dikritik.

“Tidak salah melakukan kesalahan kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran kerana kita belajar daripada kesilapan,” katanya lagi.

Najwa turut menyarankan agar mereka yang ingin menegur kesalahan orang lain melakukannya dengan cara lebih privasi dan bukannya menerusi hentaman secara umum.

“Jangan kutuk mereka yang baru belajar, lebih baik bimbing dan didik mereka cara penggunaan perkataan atau tatabahasa yang tepat sebab mempelajari bahasa kedua bukanlah perkara yang mudah bagi sesetengah orang.

“Secara mudahnya, tegur de­ngan cara lebih tertutup seperti mesej atau pembelajaran secara bersemuka,” ujarnya.

Sementara itu, Najwa memberitahu, orang ramai pada hari ini boleh mempelajari bahasa ­asing dengan percuma kerana sudah ramai guru bahasa berkongsi ilmu mereka dalam media sosial seperti TikTok.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI