PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan 250,000 permohonan menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang dilancarkan pada 16 November lalu dan berakhir pada 30 Jun 2021 mempunyai dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Katanya, pihaknya telah menerima 478 permohonan daripada majikan untuk program itu melibatkan 1,980 PATI setakat Rabu lepas.
“Kesemua permohonan ini diterima melalui e-mel dan mulai Rabu, majikan tidak lagi perlu membuat permohonan menerusi e-mel kerana semua permohonan perlu dibuat secara dalam talian di portal rasmi Imigresen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di Ibu Pejabat JIM hari ini.
Khairul Dzaimee berkata , setakat ini terdapat 12,400 pendatang tanpa izin berada di 14 depoh tahanan di Semenanjung dengan kebanyakan mereka adalah warga Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan Bangladesh.
Katanya lagi, Program Rekalibrasi Pulang merupakan suatu inisiatif kerajaan bertujuan memberi peluang kepada PATI yang telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
“PATI yang layak dan mendapatkan janji temu secara atas talian menerusi Sistem Temujanji Online (STO) perlu hadir ke pejabat Imigresen bersama dokumen perjalanan sah, tiket pulang ke negara asal dan membayar kompaun RM300 hingga RM500 mengikut kesalahan masing-masing.
“Setelah selesai urusan bayaran, Imigresen akan mengeluarkan Pas Khas dan Check Out Memo (COM) dan PATI perlu pulang ke negara asal mengikut tarikh tiket dikemukakan,” katanya.
Pada 12 November lalu , kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin merangkumi dua komponen utama – Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 Jun 2021 kepada PATI di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Pelan Rekalibrasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta agensi-agensi kerajaan yang lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.-K! ONLINE