KAJANG – Gara-gara mencederakan dua jirannya termasuk merosakkan motosikal, seorang penganggur dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Sia Resul, 26, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sia yang memakai baju didapati sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ppetrus Anak Kamarudin, 18 dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap Ppetrus dengan bersenjatakan parang yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan keempat, Sia didapati melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan motosikal milik Kamarudin Kilong, 34 dan menyebabkan kerugian RM1,107 yang didakwa memgikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan dilakukan di depan sebuah kedai runcit di Kampung Kechau Luar Orang Asli, Sungai Lalang, Semenyih di sini, pukul 8 malam pada 29 November lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak.
Sementara bagi pertuduhan keempat, tertuduh diperintah membayar denda sebanyak RM2,000 dan penjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar junlah denda itu dan difahamkan tertuduh tidak membayar denda tersebut.
Kesemua hukuman penjara enam bulan itu diperintah bermula hari ini.
Terdahulu, Sia yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan kerana baru sahaja diberhentikan kerja.
“Saya juga perlu menanggung isteri dan seorang anak yang berusia dua bulan,” katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kejadian melibatkan dua individu termasuk tertuduh menggunakan parang.-K!ONLINE