LUMUT – Masih ada pihak atau individu di daerah Manjung yang masih berdegil melakukan aktiviti perjudian dalam talian yang diharamkan walaupun premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.
Hari ini, empat lagi premis yang dikenal pasti masih melakukan aktiviti itu menerima tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam operasi khas bermula pukul 3 petang tadi bagi menghentikan terus aktiviti tersebut.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, ia membabitkan dua premis di kawasan Ayer Tawar dan masing-masing satu premis di Lumut dan Sitiawan.
“Tindakan ini dilakukan selaras dengan peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya ketika ditemui ketika operasi itu dilakukan di sini hari ini.
Operasi tersebut diketuai Nor Omar bersama pegawai-pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung serta kakitangan Tenaga Nasional (TNB) Seri Manjung.
Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit beroperasi tiga kali seminggu iaitu Rabu, Sabtu dan Ahad iaitu berdasarkan ‘hari cabutan’ judi tersebut.
Menurut beliau, dipercayai setiap premis memperoleh hasil jualan antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari dengan setiap pengendali memperoleh komisyen sekitar 18 peratus.
Katanya, keempat-empat premis terbabit pernah diserbu dan diambil tindakan sebelum ini tetapi masih terus berdegil melakukan operasi perjudian tanpa lesen itu.
Beliau berkata, mulai 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 14 premis telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di daerah Manjung.
Nor Omar berharap tindakan tersebut diharap mampu menjadi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak meneruskan operasi perjudian itu.
“IPD Manjung tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram.
“Pemotongan bekalan elektrik ke atas premis perjudian haram akan dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan dalam membanteras kegiatan ini,” katanya. – K! ONLINE