Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
TEMERLOH – Meskipun operasi pencarian telah sampai hari ke lapan naluri seorang ibu kuat menyatakan jasad anak bongsunya yang dikhuatiri lemas berada di kawasan berhampiran.
Rohaya Ismail, 56, berkata, dia berharap operasi pencarian akan diteruskan lagi di kawasan berhampiran oleh pihak yang melakukan operasi mencari dan menyelamat khususnya pasukan menyelam.
“Saya dan bapanya tidak henti-henti berdoa dan melakukan solat hajat setiap hari semoga jasadnya ditemukan.
“Naluri saya kuat menyatakan dia berada di sana dan tidak jauh dari tempat dia jatuh,”katanya ketika ditemui di pusat operasi mencari di Kampung Tebing Tinggi di sini, hari ini.
Jumaat lalu seorang Loqman Hamka,20, yang keluar menaiki bot bagi meilhat rawai yang dipasang di Sungai Pahang berhampiran dikhuatiri lemas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu bot mangsa ditemukan hanyut oleh penduduk setempat di sekitar Kuala Kunjan.
Hari ini merupakan hari kelapan operasi pencarian yang dilakukan pelbagai pihak selepas operasi yang turut disertai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Dalam pada itu, bapa mangsa Hamka Abu Bakar,62, berkata, meskipun reda dengan takdir ilahi dia begitu berharap jasad anaknya dapat ditemukan.
Katanya, dia yang merupakan bekas anggota polis berharap doa berterusan daripada keluarga dan orang ramai dikabulkan agar jasad anaknya ditemukan.
“Saya meminta anak saya dapat timbul dan ditemukan kerana saya harap kebumikan anak saya di tanah perkuburan,”ujarnya.-K! ONLINE