PUTRAJAYA – Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) bakal mewujudkan Akademi I-Kembali di Paya Indah Wetland, Dengkil bagi membimbing dan melatih bekas banduan untuk menceburi bidang keusahawanan.
Pengerusinya, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, latihan dan bimbingan tersebut salah satu daripada Program I-Kembali yang dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan.
“Menerusi Akademi I-Kembali ini, penilaian peserta akan dibuat terlebih dahulu sebelum diserap dan kita menyasarkan mereka ini untuk menjadi usahawan berjaya dalam pelbagai bidang.
“Bagi bekas banduan berusia 50 tahun ke atas dan tiada tempat kerja selepas keluar menjalani hukuman penjara, dari sini kita boleh membantu mereka misalnya menceburi industri kecil sederhana (IKS),” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kehilangan kad pengenalan peserta Program I-Kembali di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.
Ditanya mengenai program tersebut, Siti Murni berkata, sehingga kini seramai 380 peserta menyertai Program I-Kembali dan dianggarkan ia dijangka mencapai 1,000 orang menjelang akhir tahun ini.
Mengulas lanjut, Siti Murni berkata, bagi pengurusan kad pengenalan peserta Program I-Kembali di JPN, ia melibatkan 18 peserta iaitu Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dari Penjara Tapah, Perak yang tiba pada Selasa lalu.
“Sepatutnya kita bawa 30 peserta hari ini (semalam) tetapi disebabkan kenderaan rosak, hanya dapat bawa 18 peserta ke JPN dan pengurusan kad pengenalan ini bagi membolehkan mereka dihantar ke tempat kerja.
“Kita mendapat kerjasama baik daripada pihak JPN dan urusan kad pengenalan turut diipermudahkan. Sehingga kini, hampir 100 peserta yang kita uruskan di JPN sejak Program I-Kembali dimulakan.
“Ada peserta yang diterima mempunyai kad pengenalan tetapi tercicir selain rosak bahagian cip jadi perlu diuruskan untuk pengurusan kemasukan kerja seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.-K! ONLINE