PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya telah menerima sebanyak 12 laporan berhubung aktiviti sindiket penipuan pelaburan yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM92,560.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, laporan yang diterima itu dikesan membabitkan beberapa platform seperti Like&Share, iShareFans, Zan Zan Le, Test Fight dan Queqibao.
“Sindiket-sindiket ini dikesan mengiklankan platform mereka di laman sosial Facebook serta Instagram dan mereka yang berminat kemudiannya akan diberi satu pautan URL untuk memuat turun aplikasi tertentu.
“Menerusi aplikasi yang dimuat turun itu, mangsa akan membuat pembelian keahlian mengikut peringkat yang dikehendaki bermula dengan nilai RM99 hingga RM9,999,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Niz Ezanee, wang pembelian keahlian akan dimasukkan ke dalam akaun suspek dan mangsa perlu menyempurnakan tugasan pada peringkat yang dipilih dan keuntungan daripada tugasan itu akan terpapar pada akaun aplikasi e-dompet mangsa.
“Menerusi aplikasi yang diberi secara percuma pada awalnya, mangsa dikehendaki melakukan tugasan ‘like & share’ di laman Tik Tok atau YouTube dengan setiap tanda suka serta perkongsian yang dibuat akan menerima bayaran RM1 dengan 20 tugasan sehari.
“Keuntungan itu juga akan dibayar ke dalam akaun e-dompet mangsa namun mangsa tersedar telah ditipu apabila jumlah keuntungan yang dijanjikan untuk pengeluaran tidak dapat dikeluarkan dan akaun tersebut juga telah ditutup,” jelas beliau.
Tambah Nik Ezanee, pihaknya menyeru kepada orang ramai agar lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan yang lumayan dalam jangka masa yang singkat. – K! ONLINE