fbpx

Ustaz gagahkan diri sempurnakan jenazah mangsa kekejaman datuk tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Allahyarham Muhammad Adam Sufi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur selepas urusan mandi kafan selesai di Kontena Wakaf SPJM Isnin lalu.- Foto SPJM

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga Nigeria yang mencampak cucu tirinya dari tingkat empat sebuah apartmen sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak itu baru-baru ini disifatkan sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafiuedin Zainal Rasid berkata, remuk hatinya melihat jasad Allahyarham Muhammad Adam Sufi Norkhusairi ketika menerima jenazah kanak-kanak itu untuk disempurnakan.

“Ketika menerima jasad itu yang tiba dari hospital, perasaan saya saat itu sangat remuk membayangkan anak saya yang seusia dengannya, cukup pedih hati ini untuk melihat keadaan jasad anak syurga ini.

“Apalah dosanya sehingga sanggup manusia dewasa yang berakal seperti datuk tirinya itu sanggup mencampakkan anak kecil yang sedang tidur dibuai mimpi saat itu dari tingkat empat ke bawah dengan kejam?,”katanya menerusi satu perkongsian di laman Facebook.

Muhammad Rafiuedin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie berkata, beliau bagaimanapun menggagahkan diri untuk memandikan jasad kecil itu secara berhati-hati dengan perasaan bercampur baur saat merasai kepala arwah yang telah dijahit rapi susulan kecederaan dialaminya.

“Andai ada manusia berhati syaitan itu di hadapan saya ketika itu, akan saya pijak mukanya berkali-kali! Nafsunya mengalahkan binatang. Selayaknya penjenayah itu dihukum sebat dan gantung sampai mati atas segala perbuatan hinanya itu!.

“Sudahlah anak ini kematian ayahandanya sejak dua tahun lepas, kini si ibu terpaksa pula menerima hakikat yang dia baru sahaja kehilangan satu-satunya anak hasil perkahwinannya bersama arwah suaminya dahulu,” ujar beliau.

Tambah beliau, ujian yang dilalui oleh ibu mangsa sungguh hebat dan berdoa agar wanita berkenaan yang masih menerima rawatan di hospital susulan kesan pukulan ayah tirinya warga Nigeria itu diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

“Insya-Allah, sihat tubuh badan mungkin tiada masalah, namun untuk menghadapi kesan trauma sepanjang hayatnya itulah hakikat yang cukup sukar untuk dihadapi.

“Semoga keluarga arwah Adik Muhammad Adam Sufi diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Allah lebih menyayangi dirinya,” ucap beliau.

Jelas Ustaz Rafie, jenazah Allahyarham Muhammad Adam Sufi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur selepas urusan mandi kafan selesai di Kontena Wakaf SPJM Isnin lalu.

Terdahulu, Kosmo! pada 29 November lalu melaporkan tentang tindakan seorang lelaki warga Nigeria yang mencampak cucu tirinya dari tingkat empat sebuah apartmen di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur sebelum dia sendiri bertindak terjun.

Siasatan pihak polis mendapati, suspek telah cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu sebelum dihalang isteri serta anak-anak yang lain mengakibatkan lelaki itu berang dan memukul kesemua mangsa yang ada di dalam rumah tersebut sebelum mereka bertindak melarikan diri.

Sebaik melihat mangsa menjerit meminta bantuan, suspek bertindak mencampakkan kanak-kanak malang itu dari tingkap di bilik utama sebelum dia bertindak terjun dari tingkap sama.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI