JOHOR BAHRU – Tiga pegawai atasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berdepan tindakan tatatertib ekoran kes penyeludupan dadah ke dalam lokap balai berkenaan.
Pegawai kanan polis yang terlibat termasuk ketua polis daerah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah serta Ketua Balai Polis Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah membuka kertas siasatan tata tertib kepada tiga pegawai atasan terbabit.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam kes ini.
“Kita akan tengok hasil siasatan, melihat dari aspek akauntabiliti dan penyeliaan, memang tidak ada.
“Lokap balai ini berada dalam kawasan IPD Kota Tinggi, kalau Balai itu jauh dari IPD, mungkin ada alasan tapi ini di bawah dagu sahaja, tidak ada penyeliaan. Jadi, kita tidak akan bertolak ansur.
“Kita akan menjalankan siasatan rapi, baik Ketua Polis Daerah, ketua jabatan atau mana-mana yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti akan diambil tindakan. Mungkin akan digantung tugas atau paling tingggi dibuang kerja atau lain-lain tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Ahad lalu, seramai sembilan anggota polis dari IPD Kota Tinggi dicekup kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di dalam lokap balai terbabit.
Tangkapan itu melibatkan lapan anggota lelaki dan seorang anggota wanita berusia lingkungan 20 hingga 36 tahun berpangkat koperal hingga konstabel bertugas sebagai pengawal lokap IPD berkenaan yang menerima bayaran antara RM50 hingga RM1,500 bagi melakukan kegiatan tersebut.
Ayob Khan berkata, kes barang terlarang masuk dalam lokap ini banyak tapi mungkin sebelum ini tindakan tidak diambil atau ada yang cuba melindungi perkara itu. – K! ONLINE