SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak restoran dibuka terutamanya yang menyajikan hidangan Barat.
Malangnya, kebanyakan restoran yang dibuka itu gagal menyajikan sajian barat mengikut kehendak dan cita rasa masyarakat tempatan.
Menyedari hakikat itu, Restoran The Billboard, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur tampil dengan pilihan menu sajian Barat yang mampu memenuhi selera segenap lapisan masyarakat.
Pemilik The Billboard, Mohd. Faizul Baharudin, 34, berkata, restoran yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu menawarkan lebih 100 menu Barat yang cukup menyelerakan.
Katanya, setiap menu yang ditampilkan di The Billboard telah diubah suai atau ditambah baik bagi menyesuaikannya dengan kehendak dan selera masyarakat tempatan.
“Alhamdulillah, sejak dibuka restoran ini tidak pernah sunyi dengan kedatangan pelanggan terutamanya daripada para penggemar sajian Barat.
“Di sini, kami menyajikan pelbagai sajian Barat yang dihasilkan dengan resepi tersendiri bagi memenuhi selera masyarakat di negara ini yang gemarkan rasa lebih pedas,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Antara sajian enak yang ditawarkan di The Billboard adalah aneka burger daging dan ayam, burger daging truffle mush, pasta kambing Jepun, aglio makanan laut, cabonara satay, sup cendawan serta salad.
Sajian yang menjadi kegemaran pelanggan di restoran tersebut adalah stik daging dan grass fed striploin, oxtail, beef ribs, lamb shank, ayam lada hitam, ayam peri-peri dan ayam truffle fondue.
Mohd. Faizul memaklumkan, kebanyakan sajian di restoran tersebut adalah resepi sendiri yang dibangunkan olehnya bersama pasukan pembangunan dan penyelidikan The Billboard.
Menurutnya, pihaknya menyajikan stik yang dimasak menggunakan kaedah sous-vide iaitu teknik masakan secara perlahan selama 12 hingga 20 jam.
“Menerusi kaedah ini, stik akan dimasak dengan sempurna tanpa menghilangan kemanisan rasa daging serta tekstur lebih lembut. Tidak banyak restoran yang memasak stik menggunakan kaedah ini.
“Menariknya, stik ini didatangkan dengan aneka pilihan sos yang direka sendiri mengikut kehendak pelanggan tempatan seperti creamy pepercorn, sesame kimchi barbeku, corolina barbeku dan peri-peri,” terangnya.

Bagi mereka yang datang secara berkumpulan antara tiga hingga empat orang, Mohd. Faizul menyarankan supaya mencuba pilihan menu dinosaur.
Menu dinosaur didatangkan dengan dua pilihan iaitu ultimated lamb bagi penggemar daging kambing dan beef builder untuk pencinta daging lembu.
“Ultimated lamb adalah gabungan Australia lamb shank, kambing lambak dan stik kambing. Beef builder pula hadir bersama Australia grass fed striploin, stik serta oxtail,” katanya.
Mengulas mengenai konsep restoran, Mohd. Faizul menjelaskan, The Billboard mengabungkan dekorasi dalaman moden kontemporari dan barangan antik era 1960-an dan 1970-an.

Katanya, ia boleh dilihat dengan jelas menerusi susun atur perabot, lampu dan barangan hiasan di restoran yang mampu memuatkan seramai 180 orang pada satu-satu masa itu.
Bagi menaikkan lagi mood santai, pihaknya turut menjemput kumpulan untuk mempendengarkan lagu berentak perlahan dan blues secara langsung di pentas khas disediakan.
“Biasanya pada malam minggu, kami menjemput artis hebat seperti pemain gitar, Man Kidal dan pelajar Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) bagi membuat persembahan,” katanya.