fbpx

SOP baharu aktiviti sukan diperlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD,
PENOLONG PENGARANG BERITA

GELOMBANG ketiga pandemik koronovirus di negara ini sekali lagi mencetuskan suasana tidak menentu menyebabkan semua urusan tergendala dan tidak berjalan dengan lancar.

Covid-19 yang digelar virus pembunuh bukan sahaja meragut nyawa manusia, malah ia turut ‘membunuh’ pelbagai industri termasuk sukan di Malaysia yang semakin tenat.

Pelbagai kejohanan yang sudah dirancang gagal dianjurkan, manakala yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan untuk mengelakkan penularan menjadi semakin sukar dikawal dan berleluasa dalam masyarakat.

Kita menghormati keputusan yang dibuat oleh kerajaan menerusi pelbagai agensi terlibat termasuk Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Belia dan Sukan membatalkan semua aktiviti sukan kerana kebimbangan wujudnya kluster daripada cabang sukan.

Piala Malaysia yang sepatutnya memasuki fasa suku akhir dan berbaki lapan perlawanan sahaja untuk ke final terpaksa dibatalkan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa akur dengan keputusan itu.

Saingan Cub Prix yang berbaki empat perlumbaan sahaja lagi musim ini juga turut tidak dibenarkan biarpun pihak penganjur akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan bagi mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi membolehkan ia diteruskan.

Pembatalan aktiviti sukan ini nampaknya seperti mudah untuk dilakukan dan kewajaran jika mengambil kira puncanya juga sangat munasabah.

Namun, impak yang lebih besar di sebalik keputusan itu juga adalah suatu yang memerlukan penelitian secara mendalam.

MFL misalnya, terpaksa berdepan natijah Covid-19 apabila beberapa penaja utama untuk saingan Liga Malaysia musim depan menarik diri dan mereka dianggarkan kehilangan sekitar RM40 juta.

Industri sukan adalah sebuah industri bernilai ratusan juta ringgit dan melibatkan banyak pihak terutama dari aspek penajaan.

Justeru, kerajaan perlu segera tampil dengan idea penyelesaian bagi menyelamatkan industri sukan negara termasuk SOP baharu yang lebih baik sekiranya SOP lama dirasakan kurang berhasil.

Menangguh dan membatalkan aktiviti-aktiviti ini sepatutnya bukanlah satu pilihan paling akhir ketika kejohanan dan pertandingan di luar negara masih rancak berjalan walaupun tanpa kehadiran peminat di venue pertandingan.

Contohnya bola sepak, liga-liga utama di Eropah masih berlangsung tanpa kehadiran penonton sedangkan negara-negara berkenaan juga terkesan dengan Covid-19, malah dalam tempoh sedikit masa lagi, sejumlah penonton akan dibenarkan memasuki stadium.

Benar, kita tidak berharap keputusan yang sama dibuat tetapi sekurang-kurangnya ada satu SOP yang jelas untuk atlet beraksi bagi menghidupkan aktiviti sukan dan penaja pun pastinya lega.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI