fbpx

Simpan motosikal dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMRAN menyimpan motosikal pemberian Ustaz Ebit Lew di rumahnya di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang semalam.

JOHOR BAHRU – Simpan motosikal yang diberi Ustaz Ebit Lew dalam rumah kerana bimbang dicuri.

Itu yang dilakukan seorang penduduk Orang Asli, Amran Ronggi, 29, sebagai menghargai pemberian motosikal berkenaan oleh pendakwah yang juga usahawan terkenal, Ustaz Ebit Lew baru-baru ini.

Kisah Amran sebelum ini tular di media sosial selepas motosikal miliknya tiba-tiba terbakar ketika dia dalam perjalanan mendapatkan bantuan di Baitulmal.

“Saya amat bersyukur dengan pemberian motosikal ini bagi menggantikan motosikal lama yang terbakar di Plaza Tol Senai. Sejujurnya, saya tidak mengenali siapa Ustaz Ebit Lew kerana saya memang tidak aktif di media sosial.

“Namun, pemberian ini amat bermakna kerana ia disampaikan sendiri oleh ustaz yang sanggup datang ke rumah saya.

“Jika mahu membeli motosikal baharu, mungkin saya perlu mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk mengumpul duit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini semalam.

Pada 16 November lalu, Amran bersama dua orang anaknya menunggang motosikal untuk mendapatkan bantuan sebelum tersesat jalan.

Ketika tiba di Plaza Tol Senai, motosikal ditunggangnya tiga beranak itu tiba-tiba terbakar sebelum seorang anggota polis membantu memadamkan kebakaran itu.

Rakaman video kejadian tular di media sosial sehingga menarik perhatian Ebit Lew yang terus mengunjungi Amran untuk ­menghulurkan bantuan, terma­suklah sebuah motosikal baharu.

“Pemberian motosikal ini amat bermakna dan saya mahu menjaganya dengan baik.

“Sebab itu juga saya menyimpan motosikal ini di dalam rumah bagi memastikan ia tidak dicuri.

“Insya-Allah saya akan jaga dan gunakan motosikal ini de­ngan sebaik-baiknya, saya juga mahu bekerja lebih keras untuk membantu ekonomi keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI