KOTA BHARU – Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM2,200 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pembeli dalam talian di sini Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an telah memuat naik iklan untuk menjual cermin hadapan kereta jenis Proton Wira pada harga RM1,150 di sebuah laman web
Menurutnya, selepas itu, suspek telah menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon asing dengan memperkenal diri sebagai seorang warga tempatan, namun menetap di negara jiran.
“Melalui perbualan mereka, suspek berminat untuk membeli cermin kereta tersebut bagi pihak ahli keluarganya yang tinggal di negara ini.
“Suspek mendakwa telah membuat bayaran sebanyak RM350 dari luar negara ke akaun bank milik mangsa. Suspek juga meminta mangsa membuat bayaran RM200 kepada satu akaun bank tempatan milik ejen penghantaran yang telah diupahnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ahmad Azizul, mangsa turut menerima e-mel kononnya dari sebuah bank antarabangsa menyatakan dia telah didenda kerana tidak membuat bayaran ke akaun bank ejen itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dia juga akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal membuat bayaran denda tersebut.
“Mangsa akhirnya membuat bayaran sebanyak RM2,200 ke akaun bank milik ejen penghantaran itu meskipun tidak menerima langsung bayaran daripada suspek,” katanya
“Curiga dengan perbuatan suspek, suspek tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dua hari lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K! ONLINE