fbpx

Pengutip barang lusuh hilang, kesan darah ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi mencari mangsa yang dipercayai hilang dilakukan di sekitar Sungai Ketil, Kuala Ketil, Baling hari ini.

BALING – Seorang pengutip barangan lusuh dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Orkid di sini sejak malam kelmarin.

G.Sivaguru, 32, dikatakan tidak pulang ke rumahnya seperti biasa selepas keluar mencari barangan terpakai di sekitar Kuala Ketil di sini pada pukul 10 malam.

Bagaimanapun lori milik mangsa ditemui berdekatan tempat pembuangan sampah berhadapan sebuah stesen minyak di pekan ini dengan beberapa kesan tompokan darah.

Kenderaan itu ditemui oleh pekerja pembersihan yang melakukan tugasan rutin di kawasan berkenaan pada pukul 8.30 pagi semalam sebelum satu laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, susulan laporan itu, pihaknya memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mangsa.

“Hasil maklumat keluarga kemudiannya kita menemui kesan darah di atas Jambatan Kuala Ketil-Bukit Selambau.

“Siasatan lanjut oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di dua lokasi penemuan tompokan darah itu mendapati ia adalah darah manusia,” katanya di sini hari ini.

Menurut Syed Basri, pihaknya kemudian menggerakkan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Ketil dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sehingga kini mangsa belum ditemui dan operasi di kawasan darat dan sungai berkenaan masih diteruskan.

“Kita melakukan siasatan daripada pelbagai sudut dan tidak menolak kemungkinan mangsa dibuang ke dalam sungai ini berdasarkan penemuan darah di sini,” ujarnya.

Tambahnya, kes masih disiasat sebagai pencarian orang hilang dan bukti kejadian seperti darah telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Syed Basri turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI