JOHOR BAHRU – Masyarakat tidak perlu bimbang ketika berurusan di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini susulan terdapat lapan anggota dan pegawai termasuk ahli keluarga mereka yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua lapan anggota dan pegawai serta ahli keluarga sudah menjalani kuarantin selain ujian calitan sudah dilakukan.
Katanya, kes positif Covid-19 itu melibatkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor dari IPD Iskandar Puteri dan dua anggota bersama lima ahli keluarga dari IPD Johor Bahru Selatan.
“Bagi kes di IPD JBS, seramai 70 individu dikuarantin di rumah bermula dari 29 November lalu susulan terdapat kes positif melibatkan dua anggota dan lima orang ahli keluarga.
“Bagi IPD Iskandar Puteri pula, seramai 111 individu membabitkan seorang kakitangan awam, 71 anggota, 36 pegawai dan tiga ahli keluarga diarahkan di kuarantin di rumah bermula kelmarin (30 Nov) selepas seorang pegawai disahkan positif Covid-19,”katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, setakat ini, itu sahaja kes yang disahkan positif manakala yang lain sedang menunggu keputusan ujian swab swab test.
Jelas beliau, tindakan arahan kuarantin itu diambil sebagai langkah pencegahan selari dengan nasihat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi memastikan pentadbiran serta operasi IPD terbabit tidak terjejas, Ayob Khan memberitahu pihaknya sudah menghantar anggota dan pegawai dari IPK Johor bagi membantu kelancaran perkhidmatan IPD berkenaan.
“Masyarakat tidak perlu bimbang kerana kita telah mengatur gerak anggota dan pegawai ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu menguruskan pentadbiran dan operasi di sana.
“Proses sanitasi juga telah dijalankan” katanya
Sehubungan itu, laporan Kosmo! hari ini mengenai operasi di kedua-dua IPD tersebut terjejas adalah tidak tepat.-K! ONLINE