PUTRAJAYA – Kes harian kembali kepada empat digit dengan 1,075 kes dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 69,095 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, terdapat pertambahan 11 kes kematian dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 376 kes.
“Kes kematian ini dilaporkan di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah, Johor dan Kelantan melibatkan tujuh wanita dan empat lelaki berusia antara 50 hingga 81 tahun.
“Pada masa sama, sebanyak 948 kes pulih dicatatkan menjadikan jumlah kes sembuh Covid-19 di seluruh negara sebanyak 57,917 kes,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 116 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Ujarnya lagi, daripada jumlah kes baharu dilaporkan hari ini, sebanyak tiga kes import mendapat jangkitan dari luar negara manakala, 1,072 kes adalah penularan tempatan. – K! ONLINE