PETALING JAYA- Susulan pengumuman Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai deposit mineral di negeri itu yang berjumlah RM62 bilion, netizen tidak membuang masa mengaitkan negeri itu dengan Wakanda, sebuah kerajaan fiksyen dalam filem dengan nama yang sama.
Tanda pagar #WaKedahForever turut menjadi trending dengan seorang netizen, @ijaicool membayangkan negeri Kedah bakal menjadi maju seperti Wakanda.
Dia menyunting gambar Wakanda dengan bangunan ikon negeri Kedah yang mencuit hati ramai pengguna Twitter.
Sehingga pukul 4.40 petang, gambar itu diulangciap sebanyak 7,000 kali.
Namun, ada juga yang menyatakan kegusaran mengenai kerosakan alam yang bakal berlaku selepas mineral dilombong.
Terdahulu, Muhammad Sanusi disindir kerana salah menyebut nilai mineral itu pada RM43 trilion.
“43 trilion, mereka jumpa Vibranium ke apa? Kedah akan melaungkan slogan WaKedahForever sedikit masa lagi,” ujar @akhlilridza. – K! ONLINE