TUMPAT – Penduduk di kawasan Pengkalan Kubor yang terjejas dengan banjir tidak perlu takut untuk meninggalkan rumah dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, pihaknya akan melakukan rondaan berkala untuk memastikan harta benda penduduk yang berpindah ke PPS berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, satu pasukan khas dari Balai Polis Pengkalan Kubor, Simpangan dan Kuala Jambu telah dibentuk untuk membuat persediaan menghadapi bencana itu.
“Oleh itu, jangan takut untuk berpindah. Kami akan sentiasa melakukan rondaan sepanjang masa.
“Sepanjang saya bertugas di sini, polis masih belum menerima sebarang kes berkaitan kecurian sepanjang musim banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta untuk mengulas kenyataan penduduk Kampung Kubang Sawa yang tidak mahu berpindah ke PPS selepas bimbang terhadap keselamatan rumah mereka.
Sebelum ini, majoriti 150 keluarga di Kampung Kubang Sawa di sini membuat keputusan enggan berpindah setiap kali banjir kerana bimbang rumah dipecah masuk pencuri.
Terdahulu, Ab. Rashid turun padang bertemu dengan penduduk di Kampung Kubang Sawa dan Bendang Pak Yong sambil membuat rondaan banjir.
Hadir sama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail.
Rondaan itu turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tumpat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela). – K! ONLINE