fbpx

Guna kren turunkan lelaki 300kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kren mengangkat kotak besi di luar sebuah bangunan untuk proses memindah keluar lelaki obes di Perpignan, Perancis. – AFP

PARIS – Seorang lelaki obes yang terperangkap lebih setahun di dalam kediamannya di tingkat dua sebuah bangunan di Perpignan, selatan Perancis berjaya dibawa keluar dengan bantuan kren.

Kira-kira 50 anggota polis, petugas penyelamat dan doktor berkumpul di rumah Alain Panabiere, 53, semalam untuk operasi tersebut.

Panabiere dilaporkan mempunyai berat badan sekitar 300 kilogram (kg).

Peguam Jean Codognes ber­kata, anak guamnya itu terpe­rangkap di dalam rumah itu ‘sejak berbulan-bulan lalu selepas patah kaki’.

Sepanjang berada di kediaman itu, Panabiere dijaga dan diberi makan oleh abangnya, namun keadaan kesihatannya didapati kian merosot.

Pada Oktober lalu, Codognes mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin untuk meminta bantuan menyelamat.

“Operasi untuk menyelamatkan Panabiere sememangnya berisiko tinggi,” jelas Codognes.

Pada hari operasi dijalankan, polis meminta semua jiran me­ninggalkan rumah masing-ma­sing bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pekerja yang terlibat dalam operasi sama bertindak meme­cahkan dinding luar rumah untuk membuka ruang bagi mengeluarkan Panabiere.

Panabiere diberikan tiub drip intravena (IV) sebelum di­masukkan ke dalam satu kotak besi yang digantung pada sebuah kren di luar bangunan itu.

Dia kemudiannya diturunkan secara perlahan-lahan dan dimasukkan ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital.

Panabiere kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di bandar Montpellier dan dilaporkan akan dipindahkan ke satu pusat rehabilitasi beberapa minggu lagi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI