PASIR GUDANG – Hajat seorang lelaki untuk memecah masuk sebuah rumah milik seorang bilal masjid di Kampung Pasir Putih di sini tidak kesampaian apabila dia terperangkap selama kira-kira enam jam di atas bumbung kediaman berkenaan awal pagi semalam.
Kehadiran suspek berusia 45 tahun itu dikesan oleh pemilik rumah, Abu Kasim Ahmad, 66, kira-kira pukul 10.30 malam selepas dia terdengar bunyi seperti kucing sedang memanjat bumbung.
Menurut Abu Kasim, kejadian berlaku ketika dia baru balik dari kelas agama sebelum terdengar bunyi pelik dari bumbung rumahnya yang berketinggian kira-kira lima meter.
“Saya dengar bunyi seperti benda pecah dan ingatkan ia angkara kucing. Ketika sedang menonton televisyen, saya dengar bunyi lebih kuat dan mula berasa curiga.
“Selepas itu, saya ambil tangga dan terkejut apabila melihat ada kelibat seseorang di bahagian bumbung rumah saya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Abu Kasim berkata, suspek yang terkejut mendengar jeritannya cuba melarikan diri dengan melompat ke bumbung rumah jiran, namun lelaki itu tidak berani untuk turun kerana penduduk sudah mengepung lokasi itu.
“Suspek sekali lagi melompat ke bumbung rumah saya sebelum dia terjatuh dan mengalami kecederaan.
“Saya dengar dia mengerang kesakitan sebelum mengarahkannya untuk menyerah diri, namun dia enggan. Selepas itu, barulah saya memaklumkan kejadian itu kepada polis,” jelasnya.
Abu Kasim berkata, dia tidak mengamalkan apa-apa bacaan atau ayat pendinding untuk menghalang rumahnya daripada dimasuki penjenayah.
“Mungkin lelaki itu takut diapa-apakan oleh penduduk kampung dan sebab itu dia lebih rela duduk di atas bumbung selama enam jam bermula pukul 2 pagi hingga 8 pagi,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Sazli Raping, 55, berkata, anggota polis telah cuba untuk memujuk lelaki itu agar turun dan menyerah diri, namun suspek tetap berkeras untuk berada di atas bumbung.
Jelasnya, polis kemudian meminta bantuan daripada pasukan bomba untuk menangkap suspek menggunakan semburan air dan usaha itu juga tidak berhasil sehinggalah mereka mendapatkan
khidmat kren daripada sebuah syarikat pembinaan.
“Kami memang tidak kenal lelaki itu dan percaya dia merupakan orang luar dan bukan penduduk di sini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, polis terpaksa mengambil masa hampir enam jam untuk memujuk suspek berusia 45 tahun sebelum dia menyerah diri.
“Polis terima laporan pada pukul 2 pagi dan selepas sampai di lokasi, suspek masih berada di atas bumbung dan cuba melarikan diri hingga menyebabkan kakinya tersangkut di atas bumbung tersebut.
“Kita terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba dan menggunakan perkhidmatan kren sebelum suspek menyerah diri,” katanya.
Ismail berkata, siasatan lanjut mendapati suspek merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia dan turut menemui satu paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis syabu.
Katanya, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (ceroboh rumah), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tiada dokumen perjalanan diri), Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memasukkan dadah dalam badan) dan Seksyen 12(2) ADB 1952 (disyaki memiliki dadah jenis syabu).