fbpx

Dikompaun akibat malas patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR MAS – Sikap malas segelintir individu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini menjadi punca mereka dikompaun sebanyak RM1,000.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, ia dapat dilihat apabila ada individu yang mengatakan bahawa mereka malas memakai pelitup muka dan menulis nama pada buku rekod kedatangan atau menggunakan aplikasi Mysejahtera setiap kali berkunjung ke premis-premis.

Katanya, kebanyakan individu yang telah dikompaun mengetahui dan memahami SOP yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini, namun mereka tetap mengambil mudah hal itu.

“Kita telah mengeluarkan sebanyak 27 kompaun yang berkait kegagalan mematuhi SOP sepanjang tempoh perlaksanaan PKPB di negeri ini bermula 21 November lalu.

“Ramai antara mereka memberi alasan malas dalam pematuhan SOP malah ada yang menyatakan sukar untuk mengaplikasikan norma baharu yang sedang dijalankan oleh kerajaan ketika ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika turun padang dalam operasi pematuhan SOP di premis perniagaan makanan sekitar Pasir Mas malam tadi.

Turut serta dalam operasi bersepadu itu ialah Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas, Majlis Daerah Pasir Mas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Pasir Mas.

Mengulas lanjut, menurut Mohamad Roy, dalam operasi itu, sebanyak 25 kompuan gagal mematuhi SOP termasuk merokok di tempat awam telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas.

Katanya, hasil tinjauan dan pemerhatian yang dijalankan mendapati, 90 peratus masyarakat di daerah itu patuh kepada SOP.

“Bagaimanapun, masih ada yang mengambil mudah perkara tersebut sehingga akhirnya kita terpaksa mengeluarkan kompaun kepada mereka.

“Kita akan terus melipat gandakan operasi dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran mengenai pematuhan SOP di daerah ini,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI