fbpx

Cadangan naikkan bantuan JKM RM1,000 akan dilaksanakan segera – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan cadangan menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 buat golongan orang kurang upaya (OKU) yang layak di negara ini dapat dilaksanakan segera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengusulkan agar bantuan bulanan JKM berjumlah antara RM200 dan RM300 ketika ini dinaikkan dengan mengambil kira keadaan ekonomi serta kos sara hidup semasa.

“Pastinya golongan OKU juga termasuk dalam kumpulan masyarakat yang akan mendapat faedah daripada kenaikan bantuan itu.

“Saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera, insya-Allah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan kira-kira 581,265 golongan OKU di negara ini mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat lain.

Justeru, beliau berharap kempen mendaftarkan OKU dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada individu yang tercicir dan tidak diberikan perhatian.

Menurutnya, perkara itu sangat penting bagi menjamin golongan OKU tidak terlepas daripada menerima bantuan kerajaan terutamanya ketika situasi sukar akibat penularan pandemik Covid-19.

“Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian oleh saya dan kerajaan.

“Saya sendiri telah beberapa kali turun menemui golongan ini sebagaimana ketika kunjungan saya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak serta PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah sebelum ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, susulan itu, kerajaan melalui Kementarian Kewangan telah mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh membantu golongan OKU ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini.

“Antara bantuan ini termasuklah menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 ke RM300, kadar elaun pekerja OKU (RM400 ke RM450) serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 ke RM500,” katanya.

Sementara itu, beliau menzahirkan keprihatinan dengan mendoakan golongan OKU agar diberikan tempat sebaiknya dalam kalangan masyarakat, seterusnya dapat sama-sama berperanan dalam pembangunan negara.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI