KUALA LUMPUR – Seorang bekas kontraktor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki warga emas dengan cara pemerasan menggunakan sebilah pisau September lalu.
Tertuduh Soh Kee Hui ,41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Datin Sabariah othman.
Mengikut pertuduhan, Kee Hui didakwa telah merompak dengan cara pemerasan menggunakan sebilah pisau terhadap Ong Ah Seng, 65, dengan mendatangkan ketakutan bahawa mangsa akan dicederakan serta merta.
Tertuduh telah ada bersama pada masa melakukan pemerasan dan mendorong mangsa supaya menyerahkan pada ketika itu sebuah telefon bimbit jenama Huawei P70 dan wang tunai RM35.
Kesalahan itu didakwa dilakukan, di tepi jalan, Taman Bukit Segar, Cheras di sini pukul 12.20 tengahari pada 4 September lalu yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis berdekatan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, R.Sivaraj merayu mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
“Sebelum ini tertuduh merupakan seorang kontraktor, namun selepas Covid-19 melanda tertuduh telah hilang pekerjaan dan kini bekerja sebagai jurujual pakaian secara dalam talian,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Tarikh 19 Januari 2021 ditetapkan sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini pada Oktober lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan menipu seorang warga emas kononnya mangsa akan dihadiahkan sebuah kereta jenis Toyota Vios membabitkan kerugian RM8,000.-K!ONLINE