LONDON – Bekas penyerang Tottenham Hotspur, Darren Bent percaya Gareth Bale semakin kesuntukan masa untuk membuktikan kemampuannya kepada pengurus, Jose Mourinho.
Pemain antarabangsa Wales itu kembali ke pangkuan Spurs pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas berkelana selama tujuh tahun menyarung jersi Real Madrid.
Pada saingan musim ini, Bale sudah melakukan tujuh penampilan di bawah Mourinho selain menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Brighton 2-1 bulan lalu.
“Semua orang perlu tahu ia adalah pinjaman semusim dan ia tidak perlu jadi persoalan. Apa yang menjadi persoalan adalah setakat mana Mourinho boleh memberikan peluang kepadanya.
“Setakat ini, apa yang saya dengar adalah ramai orang hanya memuji gandingan Son Heung-min dan Harry Kane. Buat masa ini, Bale masih belum berada pada tahap sebenar,” ujar Bent.
Bekas penyerang antarabangsa England itu juga mempersoalkan ke manakah hala tuju Bale selepas ini sebaik sahaja tempoh pinjaman semusim dari Real berakhir.
“Spurs perlu buat keputusan kerana ia hanyalah pinjaman semusim. Sekiranya dia gagal menampilkan aksi dimahukan, adakah mereka akan kekalkan Bale atau hantarnya pulang ke Madrid,” katanya. – AGENSI