LONDON – Disebabkan mempunyai lebihan susu badan ketika menyusukan anaknya, seorang wanita di Britain mengambil inisiatif untuk mendermakan susu badannya kepada sebuah bank susu tempatan, lapor akhbar Daily Star.
Bank susu tersebut terletak di bandar Tiverton, barat daya England.
Wanita berumur 29 tahun itu, Leanne Forbes berkata, dia telah mendermakan sebanyak 190 liter susu badan sebaik berhenti menyusukan anak bongsunya setahun lalu.
“Ia adalah satu detik yang istimewa dan penuh emosi untuk menderma dan berkongsi susu badan.
“Terdapat ramai golongan ibu di luar sana yang sukar menghasilkan susu badan untuk diberikan kepada anak masing-masing. Jadi, dengan melakukan perkara ini saya dapat membantu mereka,” katanya.
Selain itu, Forbes berkata, dia juga menjadi sukarelawan penghantar susu badan selepas sudah tidak boleh menghasilkan dan mendermakannya lagi.
“Selepas sudah tidak boleh menghasilkan susu badan, saya tidak mahu berhenti di situ, jadi saya membuat keputusan untuk terus memberi sumbangan.
“Semua orang anggap saya tidak siuman apabila memberitahu mereka bahawa saya merupakan penghantar susu badan sejak Julai lalu,” ujarnya.
Tambah Forbes, dia akan mengambil susu badan daripada penderma di sekitar tempat tinggalnya sebelum menghantar bekalan tersebut ke sebuah bank susu.
“Saya perlu merancang proses pengambilan dan penghantaran dengan teliti supaya ia tidak melebihi tempoh masa lima jam bagi memastikan susu tersebut kekal segar.
“Selepas mengambil bekalan susu badan daripada penderma, saya akan terus menghantarnya ke Hab Bayi Sihat sebelum mereka mengedarkannya terutama diberikan kepada bayi pramatang,” jelasnya. – Agensi