SELEPAS mendedahkan dirinya kini berbadan dua, pelakon Cho Min-ah sekali lagi menjadi perhatian peminat apabila memuat naik gambar bersama suami tersayang.
Bagaimanapun, beberapa keping gambar tersebut tidak menayangkan sepenuhnya wajah lelaki itu kerana ditutup dengan emoji pada bahagian mata.
Bekas anggota kumpulan Jewelry itu mendedahkan, dia hanya bertemu sebanyak dua kali dengan lelaki itu sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Dia lelaki yang kata enggan kahwin jika isterinya bukan saya. Dia lelaki yang tetap datang bertemu saya meskipun balik lewat dari tempat kerja.
“Lelaki romantik yang selalu merindui saya meskipun kami sudah tinggal bersama. Lelaki yang akhirnya menjadi suami saya sekarang,” tulisnya penuh romantis.
Sehingga kini, identiti suaminya yang dikatakan seorang pemilik sebuah pusat gimnasium di Seoul itu belum didedahkan kepada umum.
Pada 15 November lalu, Min-ah membuat pengumuman kehamilan dan mengesahkan sudah pun mendaftar perkahwinan dengan suaminya. Majlis resepsi mereka sepatutnya berlangsung pada Februari tahun depan tetapi akan ditangguhkan akibat Covid-19.